UMUM mengetahui sirah
kelahiran dan kenabian junjungan besar Rasulullah SAW adalah suatu
catatan peristiwa agung penuh pengajaran dan iktibar. Kesusahan dilalui
sepanjang kehidupannya nyata memberikan suatu kesinambungan terhadap
kegemilangan tamadun Islam sepanjang zaman.
Ternyata kekentalan
dan ketinggian peribadi Nabi Muhammad SAW adalah hasil daripada tarbiah
ruhiyyah dan jasadiyyah yang diasaskan kesungguhan kedua ibu bapanya.
Ketabahan
ibunya Siti Aminah menghadapi saat getir sebagai ibu tunggal selepas
kematian suaminya memberikan contoh dan teladan secara langsung kepada
Baginda dalam menghadapi detik sukar serta menyedihkan.
Justeru,
ketabahan itu diterjemahkan ketika Rasulullah SAW menghadapi kematian
dua insan tersayang iaitu isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu
Talib dengan tabah.
Contoh dan teladan itu wajar dicontohi
remaja terutama ketika menghadapi saat getir atau musibah. Kesedihan
adalah dugaan dan ujian Allah bagi menduga ketabahan serta keimanan
umat-Nya.
Apabila ketabahan Rasulullah SAW diambil kira, maka
golongan pelapis kepemimpinan negara akan lebih matang dalam menghadapi
segala cabaran dan dugaan hebat. Selain itu, proses tarbiah ruhiyyah
dan jasadiyyah terhadap keunggulan peribadi Rasulullah SAW diteruskan
melalui peristiwa besar ketika Baginda berumur empattahun apabila
dadanya dibedah.
Penyucian hati serta segumpal darah hitam
dikeluarkan daripada tubuhnya membuktikan seorang tokoh itu seharusnya
mempunyai peribadi bersih, suci zahir dan batin.
Ini jelas
isyarat bagi seorang pemimpin muda khususnya untuk melakukan pembersihan
sifat dalaman melalui tarbiah rohaniah dengan memperbanyakkan solat
serta amalan kerohanian berterusan seperti zikir dan qiamullail.
Selepas
melewati usia remaja, sebagai belia yang unggul peribadinya,
Rasulullah SAW memegang tanggungjawab besar sebagai individu yang
membantu perniagaan usahawan bernama Khadijah binti Khuwailid.
Ternyata
sifat amanah Baginda menghasilkan laba dan keuntungan menakjubkan
pemilik perniagaan itu. Melalui pembantu Khadijah, Maisarah, rahsia
hebat Rasulullah SAW mengendalikan perniagaan diperhatikan.
Tutur
kata baik serta menjalankan perniagaan tanpa penipuan adalah resipi
kejayaan Baginda. Amat menarik, sifat amanah dan bertanggungjawab Nabi
Muhammad membuatkan Saidatina Khadijah terpikat kepadanya.
Rasulullah
SAW sudah menetapkan asas kukuh bagi peribadi anak muda yang ingin
bergerak aktif dalam bidang perniagaan. Walaupun kekurangan dalam aspek
pengalaman, tetapi amanah dan sifat bertanggungjawab pastinya menjadi
azimat mujarab untuk usahawan muda menghadapi cabaran dunia perniagaan.
Bersifat
adil dan bersederhana bakal menjanjikan corak kepemimpinan berkualiti.
Tidak bersikap tamak pula dapat mengelakkan kes penipuan seperti
tawaran pekerjaan dan perniagaan di luar negara yang tidak diketahui
maklumat jelas mengenainya.
Selanjutnya, kita tidak harus
melupakan kepada fakta bahawa Baginda Rasulullah SAW menerima wahyu
kenabian ketika umurnya masih dalam lingkungan 40-an iaitu umur
belia meniti peringkat kematangan seorang dewasa.
Umum
mengetahui bahawa Baginda menerima amanah pertama perintah Iqra’ dalam
keadaan gementar, namun kematangan dan kepintaran Saidatina Khadijah
menenangkannya menguatkan kembali semangat junjungan besar kita untuk
menerima tanggungjawab diberikan.
Situasi dan corak kepemimpinan
negara sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa pemimpin muda
kianmendapat tempat untuk diletakkan sebagai pemimpin sesebuah
organisasi. Amanah yang diberikan ternyata cukup besar, namun berguna
bagi mempercepatkan proses kematangan mereka.
Bagi seorang anak
muda, perasaan gementar dan gemuruh apabila diberi tanggungjawab besar
adalah suatu perasaan yang sedikit sebanyak mengganggu emosi dan
tumpuan.
Seperti sokongan Saidatina Khadijah terhadap Rasulullah
SAW ketika menerima wahyu pertama dijadikan teladan, bermakna anak muda
kita memerlukan sokongan dan dorongan supaya terus tenang, tabah
menerima apa juga amanah diberikan.
Terlalu banyak teladan dan
contoh ikutan ditunjukkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW buat
pedoman remaja dan belia. Sesungguhnya kehidupan seorang pemuda dan
pemudi Islam tidak dapat lari daripada menjadikan Rasulullah SAW
sebagai model ikutan sepanjang zaman.