BELURAN – Seperti hilang ingatan, seorang bomoh sanggup
membunuh
anak lelakinya yang disangka telah bertukar menjadi seekor haiwan
dengan mencucuk kedua-dua mata mangsa di rumah mereka di Ladang Metro,
Telupid dekat sini malam tadi.
Berikutan insiden pukul 8 malam itu, mangsa, Nasrul Ali, 24, yang mengalami masalah mental cedera parah dan
meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan
R. Sivanathan berkata, siasatan mendapati suspek berusia 44 tahun
mendakwa telah melihat wajah anaknya itu bertukar menyerupai seekor
haiwan
.
“Suspek lalu mengheret mangsa yang
berada di luar ke dalam rumah lalu mencucuk kedua-dua mata dan memukul
muka anaknya dengan batang penyapu.
“Setelah mangsa meninggal dunia, suspek memandikan mangsa dengan lapan biji air kelapa muda,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan, semasa kejadian, hanya suspek dan anaknya berada di rumah mereka.
Tambah Sivanathan, kelapa-kelapa
berkenaan kemudian disusun rapi sebelum mayat mangsa diletakkan di atas
buah tersebut bersama dua biji pisang.
“Pihak kami yang dimaklumkan mengenai
kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian kira-kira pukul 1 petang ini.
Kita kemudian menahan suspek yang tidak melarikan diri,” katanya.
Jelas Sivanathan, hasil soal siasat,
suspek mengaku membunuh anaknya itu sebagai langkah pencegahan bagi
mengelak ‘haiwan’ itu membunuhnya.
“Suspek ditahan dan dibawa ke Ibu
Pejabat Polis Daerah Beluran untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan. Mayat mangsa pula dihantar ke
Hospital Daerah Beluran untuk bedah siasat,” katanya. – Utusan