Ketika Imam Al-Ghazali sedang
menyampaikan ilmiah kepada anak-anak muridnya, beliau telah bertanyakan
enam soalan kepada mereka. Apakah soalan tersebut ?
Imam Al-Ghazali terkenal
sebagai ulama besar yang tekun mempelajari ilmu tasawwuf di akhir
hidupnya dan karya besarnya berjudul Ihya Ulumuddin menerangkan
keutamaan sifat tawaduk dalam hidup manusia. Iman Al Ghazali
bertanyakan enam soalan kepada muridnya untuk mendapatkan pandangan
mereka dan soalan penting itu ialah:
1 – Pertama, “Apa yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?”.
Murid-muridnya ada yang menjawab orang tua, guru, teman dan kerabatnya.
Imam Ghazali menjelaskan semua
jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah “mati”.
Sebab itu sudah janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan
mati.
“Tiap-tiap yang bernyawa akan
merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan
disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari
neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan
(ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya
dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi
orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali Imran 185)
2 – Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan yang kedua. ” Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang menjawab negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang. Lalu
Imam Ghazali menjelaskan bahawa
semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar
adalah “masa lalu”. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap
kita tidak bisa kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga
hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai
dengan ajaran Agama.
3 – Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. “Apa yang paling besar di dunia ini?”
Murid-muridnya ada yang
menjawab gunung, bumi dan matahari. Semua jawapan itu benar kata Imam
Ghazali. Tapi yang paling besar dari yang ada di dunia ini adalah
“nafsu”
Justeru nafsu yang menguasai
diri , menyebabkan manusia gagal menggunakan aqal , mata , telinga dan
hati yang dikurniakan oleh Allah swt. untuk hidup berlandaskan
kebenaran . Fenomena ini menyebabkan mereka terjerumus ke dalam Api
neraka Jahanam .
“Dan sesungguhnya Kami jadikan
untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati
(tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang
mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan
Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar
dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak,
bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”
(Surah Al A’araaf 179)
Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke neraka .
4 – Pertanyaan keempat adalah, ” Apa yang paling berat di dunia ini?”
Ada yang menjawab baja, besi
dan gajah. Semua jawapan hampir benar, kata Imam Ghazali, tapi yang
paling berat adalah “memegang amanah”
“Sesungguhnya Kami telah
kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan
bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka
persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan
persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah)
sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman
dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (
Surah Al Ahzaab 72 )
Tumbuh-tumbuhan, binatang,
gunung dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka
untuk menjadi khalifah (pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan
sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak dari
manusia masuk ke neraka kerana ia tidak bisa memegang amanahnya.
5 – Pertanyaan yang kelima adalah, ” Apa yang paling ringan di dunia ini?”.
Ada yang menjawab kapas, angin,
debu dan daun-daunan. Semua itu benar kata Imam Ghazali, tapi yang
paling ringan di dunia ini adalah meninggalkan solat. Gara-gara
pekerjaan, kita tinggalkan solat, gara-gara meeting kita tinggalkan
solat.
6 – Lantas pertanyaan ke enam adalah, ” Apakah yang paling tajam di dunia ini?”.
Murid-muridnya menjawab dengan
serentak, pedang… Benar kata Imam Ghozali, tapi yang paling tajam
adalah “lidah manusia”. Kerana melalui lidah, manusia dengan begitu
mudah menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.
P-- Pesanan yang telah
diberikan oleh Imam Al-Ghazali amat berguna sekali kepada kita semua.
Semua pesanan ini ada bersangkut paut dengan kehidupan kita.
Lebih-lebih lagi kita berada di umat akhir zaman yang penuh dengan
cabaran. Semoga kita mampu sama-sama mengharunginya.
Sumber: Sumber Islam