ISLAMABAD – Polis Pakistan menangkap
seorang wanita kerana disyaki membunuh suaminya sebelum mencincang dan
kemudian memasaknya dalam usaha untuk menghapuskan bukti.
Zainab
Bibi, 42, dilapor memberitahu pihak berkuasa bahawa dia membunuh
suaminya, Ahmad Abbas selepas lelaki itu cuba memperkosa anaknya
berusia 17 tahun dari perkahwinan pertamanya.
Zainab memberitahu
polis, dia mencampurkan pil tidur dalam minuman Ahmad dan kemudian
menjerut lelaki itu hingga mati dengan tali sebelum mencincang mayat
mangsa.
Polis berkata, mereka mula menyiasat kes itu selepas jiran mengadu bau busuk yang datang dari rumah keluarga itu.
Anak
saudara Zainab berusia 22 tahun, Zaheer Ahmed, juga ditangkap kerana
didakwa terbabit mencincang mayat Ahmad. Ketika diwawancara oleh
wartawan televisyen ARY di bilik kurungannya, Zainab berkata: “Saya
bunuh suami saya sebelum dia menyentuh anak saya.”
Kejadian mula
terbongkar apabila tuan rumah Zainab, Behzad yang tinggal di tingkat
bawah rumah dua tingkat itu, kecewa dengan bau busuk masakan dari
tingkat atas.
Dia naik untuk menegur wanita itu.
Polis
mendakwa Behzad mendapati Zainab di dapur, memasak korma dari daging
lengan dan kaki suaminya kerana percaya ia satu-satunya cara untuk
menghapuskan mayat suaminya.
Akhbar tempatan, The Express Tribune
melaporkan, Zainab tinggal di rumah itu bersama-sama anaknya, Sonia dan
Ahmad yang dikahwininya lima tahun lalu dan pernah menjadi guru Sonia
ketika dia mengajar di sekolah gadis itu.
Zainab dipetik sebagai
berkata: “Sebaik dia mati, saya merasa ketakutan buat kali pertama.
Saya tidak mempunyai keberanian untuk menghampiri mayatnya selama
sejam. “Terlintas di fikiran saya untuk memasak mayatnya sebagai cara
untuk menghindar bau busuk.”
Bagaimanapun, menurut wanita itu,
dia tidak berniat untuk memakan masakan itu, sebaliknya mahu
membuangnya. “Saya akan memberitahu jiran, korma itu tak sedap,”
katanya. – Agensi