LEDANG – Demi cinta, seorang wanita sanggup melakukan apa sahaja
untuk suaminya, walaupun terpaksa menjadi ahli sindiket peragut bersiri.
Namun cinta mereka akhirnya membawa ke tirai besi apabila kegiatan jenayah yang dilakukan berjaya dihidu polis.
Demikian nasib seorang kerani wanita yang ditahan bersama empat
lelaki pada 25 September lalu di beberapa lokasi berbeza kerana
dipercayai menjadi ahli kumpulan peragut bersiri yang dikehendaki
setelah terbabit lebih 12 kes ragut dan samun sekitar daerah ini.
Wanita berusia 27 tahun itu merupakan isteri kepada salah seorang
ahli kumpulan berkenaan yang sudah bergiat aktif dengan kegiatan
meragut sejak setahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata,
kegiatan kumpulan berkenaan terbongkar selepas pasukan khas dari Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang menahan seorang lelaki berusia 32
tahun di sebuah rumah di Jalan Cabau Kampung Chondong, Jasin, Melaka,
kira-kira jam 4.30 pagi.
Menurutnya, suspek dikehendaki polis berhubung dengan laporan
berkaitan kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam
bangunan.
“Selepas tangkapan suspek pertama, pihak polis berjaya menjejaki
suspek seterusnya iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun di Jalan
Sialang, Tangkak pada jam 6.15 pagi.
“Lelaki itu ditahan kerana disyaki terlibat kes ragut bersangkutan
dengan laporan di Balai Polis Sungai Mati,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, ketika ditahan, polis turut merampas dua paket
plastik lut sinar yang dipercayai mengandungi dadah jenis heroin dan
syabu.
Katanya, hasil siasatan, kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan
beberapa kes ragut di daerah Ledang, selain didapati positif dadah
jenis heroin.
“Kita turut merampas dua beg tangan wanita mengandungi pelbagai
kad ATM, MyKad dan lesen memandu dipercayai milik mangsa yang diragut.
“Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu berkaitan
jenayah dan dadah. Manakala suspek kedua, mempunyai tiga rekod
penyalahgunaan dadah,” katanya.
Harun berkata, susulan itu, pihak polis berjaya memberkas tiga lagi
suspek iaitu dua lelaki yang masing-masing berusia 28 tahun dan seorang
wanita di Sungai Mati juga Muar untuk membantu siasatan.
Jelasnya, kesemua suspek didapati turut terlibat dalam kes ragut di daerah berhampiran seperti Segamat, Muar dan Melaka.
“Suspek kemudiannya diserahkan ke IPD Muar untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan dianggarkan RM10,000 dan kebanyakan barangan kemas
milik mangsa sudah dijual ke kedai pajak gadai dan sebahagiannya
dibuang ke dalam sungai dengan tujuan untuk melupuskan bukti kegiatan
mereka,” katanya.
Sumber: Sinar Harian