LONDON: Seorang lelaki yang menggunakan ritual sihir bagi memaksa
kanak-kanak menjadi pelacur, didapati bersalah di mahkamah Canterbury
atas dakwaan menyeludup manusia dan merogol.
Perbicaraan menunjukkan, ramai kanak-kanak dirogol, didera secara
seksual dan dibayangi ritual seperti voodoo dilakukan sindiket
terbabit. Mangsa juga dikelar dengan pisau, dipaksa meminum cecair
busuk dan diambil darah bagi membolehkan mereka ‘disihir.’ Osezua
Osolase, 42, menyamar sebagai pekerja pusat pungutan bahan kitar semula
dan menetap di sebuah rumah teres di Gravesend, Kent.
Namun, tanpa disedari ramai, dia adalah sebahagian daripada anggota
rangkaian penyeludup kanak-kanak yang menggunakan ancaman sihir bagi
menakut-nakutkan mangsa supaya menjadi pelacur.
Penyiasat berkata,
mangsa sentiasa ditakut-takutkan akan mati atau mandul jika mereka cuba
melarikan diri atau membuka rahsia kegiatan itu kepada sesiapa. Ketika
ditahan, polis menemui bukti sekurang-kurangnya 28 mangsa diseludup
masuk dan keluar oleh Osolase sepanjang tempoh 14 bulan.
Kegiatan itu membolehkan dia mendapat keuntungan sehingga £1.5 juta
(RM7.3 juta). Bagaimanapun, polis yakin angka sebenar keuntungan
diperolehnya jauh lebih tinggi berdasarkan bukti dikumpul setakat ini.
Hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas Osolase hari ini. – DM